Assalamualaikum & Salam Ramadhan…
Syaitan
di rantai di bulan Ramadhan
Isu ‘syaitan diikat atau dirantai’ di bulan Ramadhan adalah di antara perkara
yang telah diketahui oleh kebanyakan umat Islam. Asas kepada maklumat ini ialah
sabda Rasulullah Alaihis Salatuwassalam :
إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ
فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ
الشَّيَاطِينُ
Apabila tiba bulan Ramadhan, maka pintu-pintu
syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan pula dirantai.
(H.R Bukhari, Tirmizi, Nasa`iy, Malik dll)
Namun, apakah erti ‘syaitan dirantai’?
Adakah maksiat dan kejahatan menjadi sifar di bulan Ramadhan?
Jika syaitan dirantai, mengapa ahli-ahli maksiat dan kejahatan masih wujud
di bulan yang mulia ini?
Di sini dinukilkan beberapa pandangan dari ulama-ulama hadith berkaitan
maksud ‘syaitan dirantai’ di bulan Ramadhan.
Pandangan 1 :
Maksud syaitan diikat ialah hanya ketua syaitan-syaitan yang ditangkap dan
dirantai di bulan Ramadhan ini. Dengan kata lain, syaitan-syaitan kecil @
syaitan prebet masih dibiarkan bebas. Sementara syaitan otai berpangkat jeneral
terpaksa meringkuk di dalam penjara Allah s.w.t.
Asas pandangan ini ialah sebuah hadith riwayat Imam Tirmizi, Nasa`iy, Ibnu
Majah, al-Baihaqi dan lain-lain.
إِذَا كَانَ أَوَّلُ
لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ
Apabila masuk malam pertama bulan Ramadhan,
maka syaitan-syaitan dan jin-jin yang degil (kuat) dirantai dan diikat.
Bahkan, versi hadith riwayat Imam Nasa`iy, Ahmad dan lain-lain ada
menjelaskan :
وَتُغَلُّ فِيهِ مَرَدَةُ الشَّيَاطِينِ
Dan diikatkan syaitan-syaitan yang kuat dan
degil di bulan Ramadhan.
Justeru, hadith ini lebih mendetilkan maksud syaitan yang dirantai secara
lebih spesifik. Ianya tidaklah semua. Tetapi hanya syaitan yang punya
kreativiti hebat dan berpengalaman luas dalam menyesatkan anak Adam sahaja yang
ditahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan